Hari ini saya sekeluarga menjelajah ke Muzium Perang yang terletak di Bukit Batu Maung, Pulau Pinang. Setelah beberapa kali tertunda akhirnya menjadi juga. Setibanya kami di sana, awan gelap berarak dekat. Mujur sepanjang misi kami tidak hujan. Anda yang belum pergi lagi saya sarankan pergi bagi melihat tinggalan binaan tahun 1930an milik British.

Di bina di atas tanah Bukit Batu Maung seluas 20 ekar, kubu yang telah dibaikpulih serta dipulihara sejak 2002 ini menjadi peringatan kepada kita akan sejarah silam negara kita terutamanya di Pulau Pinang. Anda tidak bosan dengan pelbagai informasi dan imej yang berada di segenap sudut kubu ini. Kerajaan British ketika itu memperuntukkan jumlah wang yang besar dalam membangunkan kubu ini. British Royal Engineers telah diberikan amanah untuk menggali bukit ini bagi menempatkan terowong bawah tanah, kubu, pusat perisikan, pusat logistik, dewan, pejabat, saluran angin, meriam, tempat tidur, tempat memasak, penjara dan juga kelengkapan perubatan di atas tanah seluar 20 ekar ini.

Sebaik sahaja anda membayar harga tiket anda akan diberikan sekeping risalah berisi peta dan juga diberikan penerangan oleh pegawai bertugas di situ. Terdapat lebih 30 tempat yang boleh dilawati anda. Antara perkhidmatan yang turut ditawarkan di sini adalah lawatan malam, jungle tracking dan juga paintball. Walau tiketnya berharga RM 20 saya amat berpuas hati dengan apa yang ada di sini. Sekiranya anda datang ke Pulau Pinang jangan lupa singgah ke sini. Imbas zaman Malaya kita!

Kubu yang menyambut kedatangan anda.

Galeri gambar di sini.