
KUBANG PASU 11 Julai – Dua sahabat dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang tidak menyangka kunjungan mereka ke Tasik Darul Aman, Jitra di sini untuk menyertai pertandingan Kaki Pancing Siri 3/2011 membuahkan hasil apabila muncul johan dan naib johan pertandingan itu.
Norsham Ismail, 40, selaku johan membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta sijil setelah berjaya menaikkan ikan tongsan seberat 7.52 kilogram pada pertandingan anjuran Toman Merah Event dengan kerjasama Darulaman Golf & Country Club itu.
Rakannya, Zaini Ilyas, 41, pula yang muncul naib johan menerima RM10,000 setelah menjinakkan ikan tongsan seberat 7.27 kilogram.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd. Safri Meor, 30, yang menerima RM4,000 setelah berjaya menaikkan ikan patin seberat 4.56 kilogram.
Norsham berkata, dia tidak menyangka ikan tongsan yang berjaya dijinakkan pukul 11.46 pagi itu menjadikannya sebagai johan pertandingan tersebut.
"Saya dan rakan-rakan yang lain dari Tasek Gelugor memang selalu menyertai pertandingan memancing, tetapi ini kali pertama saya menang dalam pertandingan ini.
"Hadiah RM25,000 akan saya simpan dan saya akan belanja rakan-rakan yang turut datang mencuba nasib pada pertandingan ini," katanya selepas pertandingan itu di sini, kelmarin.
Zaini pula berkata, dia datang bersama Norsham serta rakan-rakan lain untuk memeriahkan lagi pertandingan Kaki Pancing Siri 3/2011 itu.
"Saya memang tidak pernah melepaskan peluang menyertai pertandingan kerana saya minat memancing.
"Saya anggap hadiah ini adalah rezeki anak-anak dan keluarga yang tidak pernah jemu menyokong minat saya ini," jelasnya.
Mohd. Safri berkata, dia bersyukur setelah penyertaannya membuahkan hasil kerana pertandingan itu disertai lebih 400 kaki pancing dari kawasan utara.
"Saya tinggal di Bota, Perak, dan setiap kali memasuki pertandingan ini saya akan mendapat hadiah dan penat lelah saya ke sini sangat berbaloi," katanya.
Dipetik dari Utusan Malaysia