Kalau Dah Tak Ada Kampung Nak Balik Raya Kat mana mek ooi, panjatlah Bukit Kerinchi dan kemudian terjun seperti ayahanda yang ulangi lagenda Susyphus….
Betapa sayunya hati Nurul Izzah kali ini dalam kolumnya seolah-olah terjadi pautan atau hubungan yang terlalu akrab antara dirinya dengan kawasan Lembah Pantai walaupun masih belum sampai sepenggal jadi wakil rakyat. Sekali imbas, menggambarkan bahawa Nurul merupakan puteri kesayangan seluruh pengundi yang diwakilinya tetapi hakikatnya semakin sehari semakin memuncak meluatnya mereka kepada sang puteri kesayangan Anwar Ibrahim yang bakal dijolokkan sebagai pewaris liga kepimpinan PKR.
Meskipun beliau cuba menulis menggunakan nuansa kemuliaan ibadat di bulan Ramadhan terasa nada politik "busuknya" tetap berbau kerana menganggap semua yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai sesuatu yang tidak bermanfaat kepada penduduk Lembah Pantai sedangkan di bahagian akhirnya mengakui
"Saya juga bertekad bekerjasama dengan penduduk dan SPAD dalam memartabatkan pengangkutan awam agar perjalanan penduduk ke tempat kerja, bersantai malah ke sekolah berjalan lancar dan masalah kesesakan diurus dengan lebih teratur dan berkesan." (Sinar Harian, 14 Ogos 2012, Balik Raya: Lembah Pantai tetap dihati.)
Maknanya itulah penenggekan beliau yang paling dramatik sekali dalam kecelaruan makna politik yang berselirat dengan Buku Jingga, PKR sebenarnya tidak mempunyai keupayaan "tepati janji." Kerana ketidakupayaan itulah maka Nurul Izzah membeber seperti orang tua yang menyesal anak kesayangannya tidak muncul ketika pagi syawal tiba " setelah 55 tahun Merdeka, kita masih miskin demokrasi, miskin penyamarataan ekonomi, miskin media yang bebas, miskin pilihan raya yang bebas dan adil dan paling merisaukan kita masih miskin jati diri sebagai warga sebangsa, senegara, sejiwa."
Benarkah kita miskin jati diri sebagai warga sebangsa, senegara, sejiwa? Ramai yang boleh bersetuju dengan warga senegara tetapi hampir lebih tiga suku penduduk Malaysia tidak boleh menerima warga sebangsa dan sejiwa. Kenapa? Secara etimologi, bangsa itu membawa maksud kekhususan berdasarkan keturunan, sifat fizikal dan budaya manakala jiwa itu membawa maksud sesuatu yang hidup, yakni nyawa. Jika kita mahu menjadikan kenyataannya, maka seluruh garis dan sifat-sifat yang ada pada sesuatu kaum mestilah dihapuskan secara peraturan, yakni identiti sebagai Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun dan sebagainya .
Jika dikhususkan dengan jatidiri orang Melayu, makna unsur tetap beragama Islam tidak lagi diwajibkan. Ia membawa maksud, orang Melayu boleh memilih apa sahaja agama yang mereka suka kerana agama itu adalah kebebasan, kebebasan adalah hak peribadi yang perlu diberikan jaminan seluas-luasnya kerana mengamalkan demokrasi.
Langkah tersebut boleh dianggap sebagai suatu langkah mengundang tragedi kerana apa yang berlaku dalam PKR, sehingga kini tidak sepatahnya kedengaran pendirian mengenai pelaksanaan syariah Islam di Malaysia, bahkan dalam buku Jingga, Islam seolah-olah akan disemadikan menerusi aplikasi "sama rata, sama rasa."
Konflik kenyataan antara DAP dan PAS mengenai hukum hudud misalnya, PKR masih membisu kerana Nurul Izzah sedar jiwa politiknya sedang mengalami parah. Menyokong pendirian PAS bermakna "membunuh harapan DAP" untuk kekalkan Malaysia sebagai negara sekular dan boleh juga membawa padah kepada rasa tidak puas hati ahli-ahlinya sendiri. Tidak semua keanggotaan PKR adalah orang Melayu, dan tidak semua orang Melayu dalam parti itu berjiwa Islam.
Banyaknya manusia yang berfikiran liberal, yang hanya melihat keuniversalan Islam yang boleh disalingtukarkan dengan nilai-nilai yang hampir sama dalam pelbagai agama (berdasarkan kelasifikasi agama wahyu) dan kepercayaan (agama yang dibentuk oleh manusia dan bukan berdasarkan wahyu) sudah menjeruk makna dalam PKR dan semakin menerjah masuk ke dalam PAS. Kerana itulah juga bukan semua pemimpin PAS bersetuju dengan "hukum hudud", ada juga merasakan sesuatu yang bersifat malapetaka jika ianya dilaksanakan kerana ramai juga mereka menipu, merompak wang rakyat dan menyundal berdasarkan keputusan hawa nafsu.
Pertama sekali perlu dihukum ialah bapa kesayangan Nurul Izzah sendiri kerana sehingga ke saat ini masih belum membuat sebarang penjelasan mengenai sumber kewangan menguruskan parti secara jujur. Benarkan seluruh suku-sakat dan ipar duai Anwar Ibrahim pernah mendepositkan ratusan juta ringgit di bank-bank di Isreal ketika berada dipenghuju karier dalam kerajaan.
Kemuncaknya ialah pada tahun 1995-1996 dengan kedudukan begitu dipercayai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai gandingan yang paling baik dan berkesan, tetapi kerana ketamakan untuk tunduk dengan kaedah ekonomi kapitalis yang dipelopori Yahudi, Anwar terjerat untuk "menindas rakyat" ketika "rakyat dalam kesusahan" dengan menaikkan kadar faedah pinjaman setelah nilai mata wang merosot kesan aktiviti penyangak mata wang.
Pada perkiraannya jika kadar faedah pinjaman meningkat, maka peminjamnya akan membayar bayaran yang lebih besar dan bank akan memperoleh untung yang besar. Kesan yang lain ialah tidak ramai yang akan meminjam. Bila tidak ramai yang meminjam, maknanya pertumbuhan ekonomi dalam negeri akan terjejas kerana bukan semua peniaga mempunyai modal pusingan dan pengusaha industri mampu bertahan dengan kenaikan kos. Ia akan menyebabkan kos pengeluaran akan terus meningkat, dan tentunya produk yang dikeluarkan dalam negara menjadi lebih mahal berbanding barangan sama yang dimport.
Nurul Izzah cewa habis sehingga dirinya mungkin ngelamun dalam "jiwa kacau" apabila tiada siapun pun mahu meneruskan agenda gilanya . Katanya, "rasa terkilan kerana kesediaan saya menyahut jemputan berdebat mengenai Skim Pembiayaian PPR-PA yang dibuat Senator Datuk Raja Nong Chik di mana saya mencadangkan Skim Sewa Hingga Milik Tanpa Faedah berbanding penggunaan dana KWSP pada kadar pinjaman enam peratus tidak ditunaikan."
Memangnya bercakap mudah, tapi nak buatnya adalah payah. Nurul Izzah patut belajar bagaimana ayahandanya ketika menjadi orang kedua penting dalam kepimpinan kerajaan menggunakan segala upayanya untuk mengambil seberapa luas tanah sawah untuk kepunyaan orang Melayu di Seberang Jaya, dan Permatang Pauh. Tanah itu kemudiannya ditukar status dan dijual berlipat kali ganda. Apabila orang kampong marah, ayahandanya kata itu untuk pembangunan tapi ayahandanya tetap kaya kerana semua projek ketika itu lebih mudah lulus bila dikategorikan orang Anwar, ataupun mr, 10 %.
Dahsyatnya ketika itu bagaimana ayahanda cuba kreatifkan ekonomi dengan mengaut untung atas angin. Lihatlah bagaimana ayahanda sang puteri mengapungkan saham-saham dan membawanya ke papan kedua, sebahagian besar suku-sakatnya diberikan borang berwarna merah jambu. Sebahagian besarnya pula terpaksa meminjam kerana memang tiada berduit, tetapi dengan penyeranaian tersebut ayahandanya sudah memperoleh untung atas angin jutaan ringgit menerusi proksi.
Janganlah sang puteri hanya tahu mencari kesalahan orang lain tetapi menutup mata menyiasat apakah yang sudah dilakukan oleh ayahandanya sendiri entah jujur ataupun banyak kelentongnya sehingga mampu berbelanja sakan walaupun sudah tidak lagi jadi menteri. Orang semua tahu, memang banyak ayahandanya salurkan wang ke beberapa buah pertubuhan di luar negara semata-mata untuk memprojekkan diri sendiri sebagai tokoh muda Islam yang berwibawa, sedangkan itu semua adalah permainan politik yang dahsyat.
Bagaimana pula sang puteri tidak tahu penglibatan ayahanda dengan Freemason? Kalaulah dakwaan Datuk Ibrahim Ali tidak terjawab, maka benarlah tekaan ramai rakan-rakan selama ini, Anwar tidak boleh dipercayai sanggup lakukan apa sahaja demi dendam dan kemarahan. Orang yang berdendam bukanlah seorang pemimpin terbaik dan boleh diteladani, kerana dalam jiwanya sudah mengalir naluri kuku besi.
Maka pada hari lebaran ini, saya mahu bertanya mana destinasinya Nurul Balik Raya? Kalau baliknya di Lembah Pantai maknanya bukan balik kampong, tidak ke mana kerana Nurul memang masih wakil rakyat Lembai Pantai. Tang Tu dah nampak sang puteri penenggek terkeliru, tidak tahu apa maknanya balik kampong keran Ceruk Tok Kun itu kampong ayahandanya.
Tentu juga tidak ramai kenalan Nurul sejak kecil di Ceruk Tok Kun kerana setahu umum, tidak pernah Nurul membesar di sana. Masanya banyak dihabiskan di Kuala Lumpur, maka dunianya hanyalah Kuala Lumpur, tetapi semakin menyampah pula orang Lembah Pantai. Maka, pilihan raya nanti, manakah destinasi Nurul setelah mendapat petunjuk Lembah Pantai tidak sanggup lagi menerima sang puteri yang hanya tahu salahkan orang lain tetapi tidak sanggup bertanyakan siapakah ayahandanya yang sebenar? Bolehkah ayahandanya diharapkan kerana banyak sangat skandal dan pergeseran moral, sejak berbelas tahun masih belum terungkai.
Wahai Nurul Izzah, tidak keterlaluan dalam politik Sang Ayah boleh berbeza pandangan dengan Sang Puteri, tetapi itu bukan bermakna penderhakaan. Tetapi, jika sang Puteri tetap menyembunyikan kebobrokan ayahandanya sendiri, bermakna Sang Puteri juga adalah seorang penjenayah, yakni berbohong dan jujur.
Semuanya kerana mahu melindungi maruah walhal sikap menyusup sampah di bawah karpet akhirnya tidak dapat diselindungi lagi, lama-lama boyotlah perutnya walaupun dinafikan "bukan saya, kerana saya tak boroi." Bagaimanapun, perut tetap boroi apabila tiba waktunya, setelah umur meningkat ke usia emas, semuanya tidak tegang lagi, perut yang kempis mula jadi boroi tetapi tidak seboroi…watak Samad dalam Wayang Pak Dalang Dolah Sibaju Merah.
Saya setuju apabila Nurul Izzah berdoa "semoga Allah berkati usaha jadikan Malaysia lebih baik" tetapi doa tersebut mestilah disusuli dengan tindakan, sang puteri perlulah jujur memberikan penilaian dan bukan hanya tahu menegakkan benang kering sehingga menjadi basah. Dosa kering yang sang puteri lakukan akhirnya menjadi konflik dan membusung jadi demonstari jalanan yang mual dan jelek. Maka, jujurlah pada diri sendiri, maka kejujuran itulah asas utama "jadikan Malaysia lebih baik" dan bukannya terus bermimpi atas pelantara politik anarkisme.
Saya ucapkan Selamat Hari Raya atau Eid Mubarak…..tapi, saya masih punya kampong walaupun tidak "balik raya" pada kali ini. Nurul masih nanar mencari kampong untuk "balik raya", entahlah Cerok Tok Kun ataupun Kelantan….rasa-rasanya bukanlah kampong sendiri, itu kampong ayahanda dan bonda. Hanya yang ada ialah Kg Kerinchi, sebuah kampong dalam Lembah Pantai yang sudah tidak mahu menerima Nurul Izzah lagi kerana tidak sanggup menanggung luka untuk sepenggal lagi.
Mustakim Muhammad
Anda mungkin berminat dengan:
Silat Khalid Samad & Hasan Ali vs Kung Fu DAP: Dan pemenangnya ialah...
Hudud, Buat Nik Aziz Terkedut
APA BEZANYA "MAIN BOLA" DAN "MAIN POLITIK" ??