Georgetown, 06 Mac: Sembilan pertubuhan agama dan tiga persatuan penjaja di kawasan Parlimen Jelutong menerima peruntukan berjumlah RM230,000 daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) malam tadi.
Penyelaras BN Parlimen Jelutong Ng Fook On berkata peruntukan itu adalah janji yang diumum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadiri Jamuan Mesra Bersama Rakyat Parlimen Jelutong di sini, 5 Februari lepas.
Empat pertubuhan agama iaitu Pertubuhan Penganut Dewa Hock Teik Soo Tua Pek Kong, Persatuan Penganut Dewa Arulmigu Sri Raja Madurai Veeran, Rumah Berhala Chin Poh Keong Pulau Pinang dan Persatuan Penganut Dewa Chek Tai Chun Ong menerima RM25,000 masing-masing.
Lima lagi menerima RM20,000 masing-masing iaitu Persatuan Penganut Dewi Ma Chor Poh Pulau Pinang, Pu Xian Buddhist Association Penang, Tokong Penang Jelutong Tow Boe Keong Ong Tai Tay, Kuil Khalsa Dharmic Jatha dan tempat letak mayat kaum India Persatuan Penduduk Taman Seri Pinang.
Persatuan Penjaja dan Peniaga Pasar Jelutong, Persatuan Peniaga dan Pengusaha Pasar Batu Lancang dan Persatuan Peniaga-peniaga Pasar Jalan Perak pula menerima RM10,000 masing-masing.
"Hari ini kita tunaikan janji itu. Kebanyakan pertubuhan dan persatuan ini meminta peruntukan melalui kami dan kami salurkan kepada kerajaan pusat untuk kelulusan.
"Saya berharap dengan peruntukan yang diberikan ini dapat membantu pertubuhan dan persatuan ini untuk menjalankan aktiviti mereka," kata Ng kepada pemberita selepas penyerahan peruntukan itu di sini.
Bulan lepas, Muhyiddin sempena lawatannya ke Pulau Pinang mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.03 juta untuk keperluan penduduk di kawasan Parlimen Jelutong antaranya bagi membaik pulih rumah uzur dan bantuan kepada penjaja.
Muhyiddin berkata kerajaan meluluskan peruntukan itu selepas dimaklumkan Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow mengenai keperluan dan masalah penduduk di kawasan berkenaan.
Setiausaha Kuil Khalsa Dharmic Jatha Nagindar Singh ketika ditemui mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan BN kerana menunaikan janji dan berkata peruntukan itu akan digunakan untuk membaik pulih kuil yang berusia hampir 75 tahun itu.
"Pihak kami memohon peruntukan ini awal tahun ini dan hari ini kami telah menerima bantuan. Jelas sekali BN ini adalah sebuah parti yang menepati janji dan mementingkan kehendak serta permintaan rakyat," katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Jelutong Abdul Razak Abdul Rahman berkata selain peruntukan berkenaan, kerajaan pusat juga meluluskan peruntukan RM200,000 untuk membaik pulih 100 buah rumah penduduk kurang berkemampuan di kawasan tersebut yang akan bermula minggu depan.
Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti rumah-rumah terbabit dan proses membaik pulih kesemua rumah itu dijangka selesai dalam masa sebulan.
"Proses membaik pulih itu melibatkan baik pulih bumbung, lantai…benda-benda asas. Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana sudi mendengar permohonan yang dibuat penduduk Jelutong," katanya. -BERNAMA